Masuk waktu Maghrib hari ini 11.5.2017 akan masuklah 15 Syaaban 1438H iaitu Malam Nisfu Syaaban.
Namun Nisfu Syaaban tahun ini kebetulan jatuh pada malam Jumaat. Dua malam yang barakah bercantum pada satu masa, insya Allah keberkatannya berganda.
Justeru dalam kesibukan kita melakukan tugasan sebagai wanita bekerja, isteri dan ibu yang menguruskan rumah tangga peruntukkanlah masa pada malam ini untuk melakukan lebih ibadah untuk memperoleh ganjaran besar yang dijanjikan oleh Allah SWT.
Cara menghidupkan malam Nisfu Syaaban
Disunat menghidupkan malam ini seperti dilakukan oleh Baginda Rasulullah SAW dengan memperbanyakkan istighfar, berzikir dan membaca Al Quran kerana malam ini adalah malam yang penuh rahmat.
Apabila melepasi tengah malam maka bangunlah (qiam) untuk menunaikan ibadah-ibadah sunat seperti Sunat Tasbih, Sunat Tahajjud, Sunat Taubat, Sunat Hajat, Sunat Syukur dan lain-lain ibadah seperti membaca al-Quran dan berzikir serta disudahi dengan Sunat Witir.
Sabda Rasulullah SAW: “Apabila tiba pada malam Nisfu Syaaban maka berjagalah kamu pada malamnya (melakukan ibadat) dan berpuasa pada siangnya kerana sesungguhnya Allah turun (merahmati hamba-hamba-Nya) pada waktu itu mulai terbenamnya matahari ke langit dunia.
Ganjaran Diampunkan Dosa, Kurniaan Rezeki, Dilepaskan Dari Bala
Allah SWT berfirman: “Siapa yang memohon keampunan maka aku akan mengampunkannya, siapa yang meminta rezeki, maka aku akan kurniakan kepadanya rezeki, siapa yang ditimpa bala aku akan melepaskannya. Adakah daripada kalangan mereka begini dan adakah daripada kalangan mereka begini (berturutan pertanyaan daripada Allah) sehingga terbit fajar?” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Riwayat lain kelebihan malam Nisfu Syaaban
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila tiba malam pertengahan Syaaban, Allah akan memerhatikan makhluknya dengan pemerhatian yang penuh. Maka Allah akan mengampunkan orang yang beriman, membiarkan orang kafir, meninggalkan orang yang berkhianat dengan kekhianatan mereka hingga mereka berdoa kepada Allah (untuk pengampunan mereka).”
Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menghidupkan malam Nisfu Syaaban dan dua malam raya (Aidilfitri dan Aidiladha), hatinya tidak akan mati pada hari dimatikan hati-hati orang lain.”
Diriwayatkan oleh Al-Dar Qutnu dan Imam Ahmad darpada Syaidah Aisyah; Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya pada malam Nisfu Syaaban Allah SWT mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya lebih banyak daripada bilangan bulu kambing Bani Kilab (Kabilah arab yang paling banyak kambing).”
Oleh itu marilah kita bersama-sama untuk menghidupkan malam Nisfu Saaban yang berkebetulan jatuh pada malam Jumaat. Dua malam yang bercantum pada satu masa insya-Allah keberkatannya berganda. Wallahua’alam
Sumber: Vanilla Kismis
Tiada ulasan:
Catat Ulasan