Saya tak tahu nak cakap macam mana lagi. Tetapi saya memang kecewa dengan perangai suami saya. Saya tengah mengandung 36 minggu. Memang sepanjang mengandung ini, saya suka marah-marah, tak suka tengok rumah bersepah. Saya mengemas, dia sepahkan. Saya mengandung rapat-rapat. Yang sulung baru berusia setahun 2 bulan.
Memang saya penat menguruskan rumah. Melayan anak yang baru mendapat kaki berjalan, memanjat. Suami sepatutnya balik kerja awal. Tetapi menjadi lewat bila dia buat part time Uber.
Saya sudah pernah cakap dengan dia, tolong bertimbang rasa sikit. Saya sudah sarat sangat-sangat, dengan anak lagi, rumah lagi. Saya juga bekerja, memang saya agak cerewet bila mengandung.
Baju-baju dan barang-barang baby, saya yang beli dengan keluarga. Harapkan dia? Tak tahu bila nak beli sebab kemaruk sangat nak buat Uber itu. Padahal masa sudah suntuk dan saya boleh bersalin bila-bila masa sahaja.
Bila saya cakap, "Kalau saya terberanak awal, sakit di rumah, terjatuh, siapa nak tolong kalau awak tak ada?"
"Jiran ada, boleh minta tolong jiran," dia jawab selamba.
"Anak isteri awak ini tanggungjawab jiran ke? Awak buat Uber, cari duit macam mana pun kalau tak jaga hati isteri, tak berkat juga duit awak," keluh diri ini.
Tetapi seperti biasa, dia buat tak tahu. Balik rumah bila dah lewat malam. Anak pun dah tidur. Ikutkan badan, memang tak larat sebab dah sarat sangat. Tetapi saya bercakap macam tiada apa-apa.
Dan hari ini saya MC sebab kena pergi jumpa pakar untuk periksa risiko bersalin rapat. Sebab sebelum ini, anak yang sulung lahir secara bedah. Takut risiko rahim saya pecah.
"Selepas ini, tolonglah. Jangan tahu nak minta anak, buat anak sahaja. Tetapi badan saya yang menanggung. Saya yang penat, saya yang letih jaga anak seorang diri," kata saya pada dia ketika menunggu di luar bilik doktor.
"Eh? Awak yang kena jaga hati saya sebab kalau awak derhaka, lagi susah awak nak beranak nanti," katanya tak berlapik sudah.
"Saya czer. Habis tu, hati saya bagaimana? Ada awak nak jaga? Saya susah payah seorang diri. Semua nampak saya yang salah," balas saya.
"Saya takut awak umur tak panjang bila bersalin anak yang kedua ini. Mana tahu ada masalah, awak tak hidup," katanya tanpa memikirkan hati saya.
Berderau darah saya mendengar kata-katanya itu.
"Memang itu yang awak asyik sebut berulang kali semenjak saya mengandung anak kedua ini kan?" kata saya.
"Memang pun saya doa macam itu," katanya.
Saya bangun dan berpindah tempat duduk tersorok. Menitik air mata kerana sudah tidak mampu lagi menahan rasa terkilan dan sedih di hati ini. Saya menangis sepuas-puasnya. Hiba sangat bila perkataan itu keluar dari mulut suami sendiri.
Merah mata, tak sangka memang itu doa dia. Dia memang mengaku dan nampak sangat dia berharap tuhan mencabut nyawa saya semasa bersalin czer nanti.
"Sudahlah, saya tunggu di luar saja. Lama sangat, kalau buat Uber dalam masa ini dah beratus ringgit boleh dapat," kata dia lagi yang langsung tidak mahu memujuk saya.
Memang dia tidak berhati perut, membiarkan saya menangis seorang diri. Padahal saya termengah-mengah membawa perut zuriat dia. Sambil menangis, saya berdoa, memang saya derhaka dengan dia. Kadang-kadang solat tertinggal sebab saya seorang uruskan anak yang lasak sampai malam. Stress dengan kerja lagi, uruskan rumah lagi.
Semoga Allah berikan saya kekuatan untuk bersalin secara normal nanti walaupun doktor kata ada risiko tinggi. Pada saya, tiada kuasa yang boleh mengatasi kuasa Allah. Saya juga harap doa suami saya nak tengok saya mati semasa bersalin czer nanti tidak akan makbul sebab anak-anak masih perlukan saya. Doakan saya bersalin normal. Tinggal 4 minggu saja lagi, saya takut.
Sumber: Kisah Rumah Tangga
Tiada ulasan:
Catat Ulasan