KONTRAKTOR maut digilis kenderaan selepas motosikal berkuasa tinggi dinaiki terbabit dalam kemalangan di KM26.9 Projek Lebuhraya Utara Selatan(PLUS) arah selatan berdekatan Kulai, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md Said berkata, kejadian 9.30 pagi itu mengakibatkan mangsa, Moh Halmi Haroon, 53, maut di tempat kejadian.
"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang BMW S1000RR hilang kawalan dan gagal mengelak kereta yang bergerak di lorong sebelah kanan jalan menghala ke Johor Bahru.
"Mangsa melanggar tepat bahagian belakang kereta dan tercampak ke lorong sebelah kiri jalan," katanya.
Mangsa kemudiannya dipercayai digilis oleh beberapa kenderaan tidak diketahui yang melalui jalan itu menyebabkan mayat mangsa hancur.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulai," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kes masih dalam siasatan polis.
Sumber: Harian Metro

Tiada ulasan:
Catat Ulasan