SHAH ALAM - Media baru-baru ini melaporkan wanita yang dituduh melanggar lapan remaja berbasikal sehingga mati dua tahun lalu telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru.
Keputusan itu membuatkan ramai pihak mengeluarkan pendapat termasuk keluarga kepada mangsa yang tidak dapat menerima keputusan tersebut.
Dalam pada itu, perkongsian video seorang pemandu Perodua Myvi yang hampir melanggar sekumpulan remaja yang mengayuh basikal lajak di lampu isyarat membuka mata netizen bahawa tindakan berkenaan berbahaya.
Video berdurasi 14 saat yang dirakam 'dashcam' itu memaparkan Myvi tersebut sedang memasuki lorong kiri namun dengan tiba-tiba sekumpulan remaja berbasikal lajak datang dari arah bertentangan dan melanggar lampu isyarat.
Pemandu Myvi itu terpaksa memberhentikan kenderaan secara mengejut.
Video yang dimuat naik oleh Rizal Zawawi di Facebooknya turut mempertikaikan siapakah yang perlu dipersalahkan jika berlakunya kemalangan.
"Dalam video ini, kalau kita yang yang memandu dalam Myvi tersebut dan berlaku kemalangan dengan budak-budak yang bawak basikal lajak pukul 2 3 pagi, siapa yang kita nak salahkan?
"Kita yang bersalah sebab kita melanggar budak tue atau budak-budak yang bawak basikal pukul 2 ke 3 pagi atas jalan yang tak pasti basikal itu ada pasang lampu ke tak?," tulisnya.
Walaupun kejadian tersebut berlaku pada Jun lalu namun video yang baru sahaja tular di media sosial mendapat 3,000 tontonan dan rata-rata netizen mengecam tindakan remaja tersebut.
Pengguna Facebook, Diana turut menulis di ruangan komen, "Ini kalau terlanggar, bukan budak-budak yang dipersalahkan, Myvi itu yang akan dipersalahkan. Tengok contoh macam kes yang Johor, walaupun mahkamah dan kata pemandu tak bersalah, mak ayah budak itu masih tak puas hati.
Ramdan Ahmada turut memberi komen, "Ikutkan memang salah budak-budak itu tapi kalau tiada bukti dash cam ini memang terang-terang nanti pemandu Myvi akan dipersalahkan mak ayah budak-budak itu walhal pukul 2 pagi boleh biarkan anak mereka keluar."
Sumber: Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan