BEIJING: Wanita Islam yang sudah berkahwin di China dipercayai sering dipaksa untuk berkongsi satu katil dengan pegawai kerajaan lelaki yang dihantar untuk memantau mereka, lapor portal berita antarabangsa.
Business Insider melaporkan, pendedahan menggemparkan itu dibuat selepas golongan isteri etnik Uighur di wilayah Xinjiang diminta untuk 'menjemput' pemeriksa ke rumah mereka, di bawah program pengawasan wajib, ketika suami mereka ditahan di pusat pendidikan semula di negara itu.
Ketika terpaksa berpisah dengan suami masing-masing, mereka juga perlu memberikan maklumat tentang aktiviti seharian dan pandangan politik mereka kepada pemeriksa lelaki yang menggelar diri mereka sebagai 'saudara' golongan itu.
Selain itu, mereka juga digalakkan untuk 'menyemai perasaan cinta' antara satu sama lain.
Difahamkan, golongan 'saudara' tersebut datang melawat mereka setiap dua bulan dan akan tinggal seperti pasangan suami isteri sepanjang hari.
"Mereka akan 'bantu' keluarga itu dengan ideologi dan membawa idea baharu. Mereka akan bercakap tentang kehidupan apabila mula terbit perasaan cinta," lapor Radio Free Asia memetik kenyataan pegawai kerajaan dari daerah Yengisar di wilayah Kashgar.
Jelasnya, antara 70 hingga 80 keluarga di bandar itu menerima kunjungan 'saudara' kebanyakannya lelaki etnik Han yang akan tinggal selama enam hari bersama setiap keluarga.
Sementara itu, Kumpulan Hak Asasi Manusia (HRW) mendedahkan kempen kerajaan digelar 'Berpasangan dan Menjadi Keluarga' telah dikuatkuasakan di wilayah didiami etnik minoriti Islam tersebut sejak awal 2018.
"Keluarga Islam di seluruh Xinjiang kini terpaksa tidur dan makan di bawah pemerhatian ketat walaupun di dalam rumah mereka sendiri," kata penyelidik kanan di kumpulan yang berpusat di New York, Maya Wang, seperti yang dilapor portal berita Independent.
Pembongkaran program itu dibuat selepas Beijing dikatakan menggalakkan lelaki Han berkahwin dengan wanita Uighur untuk mengajar mereka tentang apa disebut kerajaan sebagai 'ideologi yang betul'.
Kerajaan pusat didakwa cuba menarik lelaki yang masih bujang di kawasan pedalaman China untuk berpindah ke wilayah Xinjiang dan mengikat tali perkahwinan dengan wanita Islam yang sudah berkahwin.
Mereka yang mengikuti dasar itu dikatakan akan menerima tanah percuma dan insentif perumahan.
Kira-kira 30 juta lelaki di China kebanyakannya penduduk Han gagal mencari pasangan hidup kerana isu ketidakseimbangan jantina di negara tersebut.
Ketika artikel ini diterbitkan, pihak Astro AWANI sedang menunggu pengesahan dari pihak berkuasa berhubung perkara ini.
Sumber: Astro Awani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan