Ramai daripada kita yang membela kucing sebagai haiwan peliharaan kerana sifatnya yang manja dan comel.
Malah membela kucing juga sangat istimewa kerana ia bukan sahaja sebagai terapi malah dapat membentuk diri kita agar menjadi seorang yang bertanggungjawab dan berdisiplin.
Dalam Islam sendiri sangat menganjurkan untuk kita memelihara kucing malah terdapat pelbagai kebaikan termasuk mendapat pahala dan dimurahkan rezeki.
Atas faktor itu juga, janganlah kita berkira dengan si bulus dalam menyediakan keperluannya bagi memastikan ia sentiasa sihat – malah ia mendidik kita agar menjadi seorang yang tidak kedekut.
Seperti Syafil Syazwan Jefri dia sendiri membela empat ekor kucing malah setiap bulan menyediakan peruntukan tertentu untuk kucing-kucing kesayangannya.
Makanan kucing diletakkan di tempat khas.
1. Makanan
Terdapat pelbagai jenis makanan kucing di pasaran cumanya, kandungan dalam makanan dan kualiti makanan itu berbeza. Sebaiknya beri kucing makanan jenis kering dan basah – bagi makanan basah sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali seminggu.
Untuk menjimatkan kos selain mempelbagaikan diet kucing, pilihan seperti ikan dan ayam rebus boleh menjadi pengganti.
2. Pasir
Pasir juga penting dan berbelanjalah lebih sedikit untuk pastikan kualiti pasir yang digunakan dapat memerangkap bau dan menggumpal sisa buangan. Jadi rumah tidaklah berbau dan selesa.
Jangan lokek berbelanja untuk pasir berkualiti bagi memerangkap bau dan najis kucing.
3. Kos Perubatan
Ia bergantung kepada rawatan. Vaksin dan deworm boleh mencecah kos RM100 untuk seekor kucing manakala rawatan kutu juga penting, jadi jika ada peruntukan lebih boleh lakukan untuk kucing anda.
Rawatan lain yang diperlukan kucing termasuk semburan dan neutered yang harganya berbeza mengikut tempat dan jantina, anggaran antara RM60 ke RM120 (kucing jantan) dan RM100 ke RM150 (kucing betina).
Jika ada bajet lebih, mengapa tidak manjakan kucing anda dengan aksesori termasuk syampu, tisu basah, putik kapas dan sebagainya.
4. Mandi Kucing
Untuk mandikan kucing, cukup sekadar seminggu sekali dan sekiranya berkesempatan cuba untuk bersihkan badan kucing setiap hari terutamanya bahagian mata, telinga dan mulut untuk pastikan tiada sebarang jangkitan atau penyakit.
Sesekali, apa kata anda manjakan mereka dengan menghantarnya ke spa! Kebersihan kucing juga perlu dititikberatkan barulah bertambah comel.
5. Jaga kebersihan
Bukan kucing sahaja yang perlu dijaga – pemilik juga perlu menjaga kebersihan dengan memastikan rumah dalam keadaan bersih dan memvakum karpet atau sofa agar tiada bulu kucing melekat.
Bagi yang tinggal di kawasan perumahan, ambil kira juga faktor komuniti dan jangan kerana kecuaian atau anda mengabaikan kebersihan kucing ia menyusahkan pihak lain.
6. Air Filter
Jika anda mempunyai peruntukan lebih mengapa tidak memasang penapis udara bagi memastikan pengaliran udara dalam rumah dalam keadaan baik malah ia boleh menghapuskan bau yang tidak selesa.
Sumber: Mstar Online via http://bit.ly/2SpqGfZ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan