"Ayat Manis Jadi Umpan Pendakwah Selebriti Menjerat Mangsa" - Sensasi 24-7

Latest

Khamis, 3 Disember 2020

"Ayat Manis Jadi Umpan Pendakwah Selebriti Menjerat Mangsa"

SHAH ALAM : Pendakwah selebriti yang kini masih dalam tahanan reman, dipercayai menggunakan kata-kata manis, dalam usaha menjerat semua mangsanya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa mudah tertarik dengan cara pendakwah terbabit meyakinkan mereka.

"Kebanyakan mangsa masih muda, usia sekitar 21 hingga 25 tahun, mangsa mungkin tertarik dengan pendakwah itu kerana cara dia mendekati mangsa dalam usia sebegini.

"Apabila dia menggambarkan diri dia sebagai pendakwah yang boleh menenangkan dan meyakinkan mangsa terutamanya bercakap lebih menjurus kepada keagamaan, ini menjadi tarikan kepada mangsa.

"Tarikan dari segi rupa paras itu bergantung pada yang melihat, ada nampak dia tampan, ada sebaliknya tetapi cara dia bercakap yang dapat menarik mangsa," katanya.

Berhubung dakwaan pendakwah terbabit menggunakan ilmu pengasih katanya, setakat ini pihaknya tiada maklumat mengenainya.

"Ilmu pengasih saya tidak tahu, tapi kadang-kala lelaki warga asing kulit hitam pun boleh dapat gadis yang muda cantik juga. Ini bermakna cara bercakap, mendengar masalah, itu yang menjadi kelemahan wanita apabila mendapat nasihat dan tunjuk ajar.

"Itu adalah satu faktor yang penyebab mereka terjerat dengan pendakwah itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima sumbangan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman yang disampaikan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun selaku Pengerusi Bebas dan Bukan Eksekutif Inix Technologies Holdings Bhd di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Noor Azam berkata, pihaknya juga percaya kemungkinan ada pertambahan laporan polis berhubung kes terbabit.

"Siasatan masih berjalan, setakat ini dua daerah terima laporan polis berhubung tindak laku pendakwah terbabit. Polis akan menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang.

"Jumlah laporan terkini kira-kira empat hingga lima, jadi kita menyeru pada mangsa-mangsa agar tampil ke hadapan sekiranya mereka mangsa kepada pendakwah ini," katanya.

Beliau berkata, semua laporan yang dibuat mangsa akan disiasat dan dikumpulkan dari pelbagai sudut, termasuk bagaimana perkenalan mereka juga medium apa yang digunakan.

"Kalau siasatan lengkap, kita akan ambil tindakan. Kita akan kemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan fakta-fakta dan bukti, sama ada boleh dakwa atau tidak, keputusan itu terpulang kepada pihak pendakwaan," katanya.

Ketika ditanya mengapa kebanyakan mangsa mengambil masa lama untuk membuat laporan polis katanya, berkemungkinan mangsa malu kerana ia membabitkan maruah diri.

"Kadang-kadang mangsa malu, kita tidak boleh salahkan mangsa sebab ini membabitkan maruah tetapi apabila seorang keluar, mesti dua tiga orang mangsa akan keluar lagi.

"Jadi saya menyeru, yang pernah jadi mangsa datanglah ke balai dan buat laporan polis, kita akan ambil tindakan, tidak perlu takut," katanya.

Sumber: BH Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan