Berang Tak Dapat Keluarkan Wang i-Sinar, Penganggur Pecahkan Mesin ATM - Sensasi 24-7

Latest

Isnin, 11 Januari 2021

Berang Tak Dapat Keluarkan Wang i-Sinar, Penganggur Pecahkan Mesin ATM

SIBU: Berang kerana tidak dapat mengeluarkan wang, seorang penganggur memecahkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah pasar raya di Jalan Salim di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.55 petang, lelaki berusia 35 tahun itu ke ATM berkenaan bersama anak lelakinya berusia sembilan tahun.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, berkata tindakan lelaki itu dilihat pengawal keselamatan di pasar raya terbabit.

"Suspek bertindak agresif dengan menumbuk skrin mesin ATM sehingga rosak sebelum beredar keluar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengawal keselamatan terdengar bunyi kuat dan apabila memeriksa dia ternampak lelaki terbabit memecahkan mesin ATM sebelum menangkapnya.

Dengan bantuan seorang lagi rakannya, pengawal keselamatan terbabit dapat menahan suspek. Suspek kemudian diserahkan kepada anggota Balai Polis Lanang tiba di lokasi selepas menerima maklumat.

Stanley berkata, suspek dikatakan berang selepas kad bank yang digunakan untuk mengeluarkan wang ditelan mesin ATM itu walaupun mendakwa memasukkan nombor PIN yang betul.

"Suspek mahu mengeluarkan wang i-Sinar untuk membeli pakaian anaknya," katanya sambil menambah semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB).

"Suspek ditahan reman mulai hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Sumber: BH Online

1 ulasan: