Setelah keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) serta bergabung dengan Pakatan Harapan, para pemimpin UMNO termasuk beberapa pemimpin tertinggi parti komponen Barisan Nasional bertindak memburuk-burukkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerusi pelbagai media arus perdana.
Jentera UMNO yang dikuasai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan sanggup melakukan apa sahaja cara semata-mata hanya untuk memusnahkan legasi bekas Perdana Menteri itu.
Ini berikutan Tun Mahathir semakin lantang menyuarakan pendapatnya berhubung isu skandal penyelewengan kewangan 1MDB serta keinginannya untuk memastikan Najib mengundur diri.
Sehubungan itu,ketika sesi temubual bersama The Malaysian Insight, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan dirinya langsung tidak mengambil peduli terhadap serangan UMNO dan Barisan Nasional.
Baginya semua itu merupakan lumrah politik dan dendam peribadi.
Beliau yakin majoriti rakyat sentiasa memberi sokongan padu dan sedar apa yang dilakukannya adalah demi kebaikan masa depan negara dan bangsa Malaysia.
Berikut adalah sedutan wawancara tersebut:
Soalan: Adakah Tun terkejut dengan serangan baru-baru ini oleh timbalan perdana menteri?
Dr Mahathir: Saya tau dia ni, anti sayalah. Dia juga antara orang yang cuba nak jatuhkan saya. Dia (Zahid) ingat dia boleh pujuk Najib untuk berhenti lepas tu dia naik jadi perdana menteri.
Saya kata kat dia, kalau pun Najib berhenti, tak semestinya dia naik jadi perdana menteri, kerana Umno ada hak untuk memilih siapa yang nak ganti Najib.
Soalan: Minggu lalu, Zahid mempertikaikan keturunan Tun, mengatakan “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty.” Komen Tun?
Dr Mahathir: Inilah contoh pemimpin berkualiti rendah. Bila berkuasa, mereka akan sokong saudara. Bila saudara tidak berkuasa, dia akan sokong orang lain dan hentam saudara.
(Umno) yang pilih saya, bukan saya yang pilih dia. Saya ahli biasa Umno, saya bukan daripada keturunan elit.
Tetapi saya dipilih Tun Razak. Tun Hussein dinasihatkan Tun Razak (untuk memilih Dr Mahathir sebagai timbalannya). Saya tak boleh pilih Umno, Umno yang pilih saya.
Soalan: Bagaimana Tun boleh tahan dengan serangan demi serangan sekarang?
Dr Mahathir: Daripada dulu, masa saya jadi perdana menteri, orang panggil saya Mahazalim, Mahafiraun. Bagi saya itu politik. You have to demonize your opponents. You tak boleh kata opponent you ini baik. Jadi ini politiklah. Bagi saya, percubaan untuk memburukkan imej saya ini datang daripada musuh. Kalau ada orang nak percaya dia percayalah, tapi majoriti orang tak percaya saya tak buat apa pun (untuk negara).
Ternampak depan mata apa yang saya dah buat. Dia nak kata saya tak buat. Ada bukti, daripada dulu lagi. Majalah Time terbit (laporan tentang saya) "The Great Builder".
Jadi saya build something-lah kot. Sebab itu masuk (majalah)… Time magazine bukan kawan saya. Tapi dia tulis jugak. Banyak laporan lain juga. (Majalah mingguan Time, pada Disember 1996 melalui rencana fokusnya, mengiktiraf Dr Mahathir sebagai "master planner" atas peranannya membangunkan Malaysia.)
Saya tak fikir majoriti rakyat terima. Dia marah lagi ada, yang marah bila Najib kata kononnya saya tak buat apa-apa. Dia (Najib) duduk dalam rumah yang saya buat. Dia kerja dalam pejabat yang saya buat. – 3 Ogos, 2017.
Sumber: CARI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan