Populasi Babi Hutan Di Melaka Semakin Meningkat - Sensasi 24-7

Latest

Jumaat, 8 November 2019

Populasi Babi Hutan Di Melaka Semakin Meningkat

Gambar Hiasan

JUMLAH populasi babi hutan atau spesis Sus scrofa di Melaka berada pada tahap membimbangkan susulan peningkatan sekali ganda berbanding tahun lalu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Melaka, Mohd Hasdi Husin berkata, peningkatan sekali ganda itu menyaksikan 457 babi hutan dihapuskan dalam 123 operasi sepanjang tahun ini sehingga Oktober lalu.

“Kita menerima 125 aduan membabitkan kira-kira 30 lokasi panas yang menjadi tumpuan spesis babi hutan yang mengganggu ketenteraman penduduk.

“Antara kawasan terbabit adalah Bukit Katil, Padang Temu, Semabok, Masjid Tanah di kawasan hutan berhampiran lokasi perumahan,” katanya ketika ditemui selepas Operasi Kawalan Basmi Babi Hutan Konflik di Pulau Besar, Melaka, hari ini.


Hadir sama EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr Aidi Mohamad.

Mengulas lanjut, Mohd Hasdi berkata, dalam pemerhatian dan operasi diadakan, terdapat sekumpulan 20 hingga 30 babi tetapi hanya dua atau tiga ekor dapat dihapuskan kerana kepantasan haiwan itu melarikan diri.

“Tambahan pula, haiwan ini mudah membiak antara empat hingga enam ekor setiap ibu dengan tempoh kehamilan antara 108 hingga 120 hari menyebabkan populasinya meningkat mendadak.

“Di Pulau Melaka sahaja, kita menghapuskan 26 ekor hidupan liar itu,” katanya.

Menurutnya, di Semenanjung hanya terdapat dua spesis babi iaitu babi hutan dan babi bodoh atau Sus barbatus yang boleh ditemui di Sumatera dan Kalimantan selain di Johor, Pahang, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Sumber: Harian Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan