Ramai yang telah mencuba untuk jimat berbelanja dan menyimpan duit tetapi tidak ramai yang berjaya melakukannya.
Sebenarnya perkara ini tidaklah mustahil dan boleh sahaja dilakukan. Cumanya, ia memerlukan pengorbanan terutama dari segi sudut gaya hidup seseorang itu.
Sama ada sedang mengumpul duit untuk membeli rumah, berkahwin, ataupun apa sahaja sebab, yang penting, seseorang itu perlulah sentiasa bijak dan berdisplin dalam menguruskan hal-hal kewangan. Kalau tidak ada displin, memang akan ‘kelaut’ jadinya.
Baru-baru ini, seorang pengguna Twitter telah berkongsikan tips dan cara dia berjaya mengumpul duit kahwin sebanyak RM18 ribu dalam masa setahun!
Menariknya, gaji kasar pemuda itu dalam anggaran hanya berjumlah RM1,400 sahaja sebulan.
Pemuda tersebut yang bernama Luqman Afifi telah berkongsikan tips kewangannya dalam bentuk thread Twitter. Ternyata kaedahnya menarik perhatian ramai orang sehingga mendapat hampir 13 ribu retweets dan 14 ribu likes.
Memudahkan orang ramai untuk memahami perkongsiannya itu, Luqman telah menceritakan cara dia berjimat-cermat dalam bentuk beberapa kategori.
1. Kerja
Luqman yang merupakan seorang penyunting video dan bergerak secara freelance mengakui mempunyai pendapatan yang tidak tetap setiap bulan.
Meskipun begitu, ekoran keinginan untuk berkahwin, dia telah berusaha lebih keras dengan mengambil sebanyak mungkin kerja-kerja editing tanpa mengira nilai tugasan tersebut.
2. Simpanan
Demi mengelakkan dirinya daripada berbelanja lebih, Luqman telah menyimpan sebahagian besar jumlah bayaran yang diterimanya ke dalam akaun bank simpanan. Bukan itu sahaja, dia juga meninggalkan kad ATM akaun tersebut di kampung!
Selain itu, Luqman juga menolak tepi semua aktiviti berunsur hiburan sepanjang proses pengumpulan wang kahwinnya.
3. Rumah sewa, duit makan & belanja
Tidak tinggal bersama keluarga, Luqman menyewa sebuah rumah bersama 9 orang temannya yang mana masing-masing turut sama menampung kos perbelanjaan duit dapur rumah tersebut.
Makan menu sama tiap-tiap hari adalah antara cabaran yang terpaksa ditempuh Luqman demi memastikan dia berjaya mengumpul duit secukupnya dalam tempoh yang telah ditetapkan olehnya.
4. Tempoh mengumpul duit kahwin
Ekoran ‘pengorbanan’ yang dilakukan Luqman itu, dalam masa setahun dia berjaya mengumpul sebanyak RM18 ribu duit kahwin.
Luqman telah menasihati orang ramai agar segera memulakan proses pengumpulan duit kahwin sekiranya inginkan duit yang lebih.
5. Hantaran dan kenduri kahwin
Bercakap tentang wang hantaran dan kenduri kahwin, Luqman menasihati orang ramai agar berbincang terlebih dahulu secara baik dengan tunang serta bakal keluarga mentua sekiranya terdapat sebarang perkara-perkara yang tidak jelas, atau sekiranya ingin membuat sebarang rundingan bersama mereka.
Dalam thread Twitter-nya, Luqman juga telah meluangkan masa menjawab beberapa persoalan yang ditanya netizen berhubung kaedah penjimatannya
Great success comes with great sacrifices. Jom berjimat-cermat kalau serius nak kumpul duit kahwin!
Sumber: @EhAfifii via http://bit.ly/35tmwrC
Tiada ulasan:
Catat Ulasan