Jika ditanya siapa yang paling kita sayangi sesudah Allah dan Rasul, pasti ramai yang menjawab ibu bapa. Ya, ibu bapa lah manusia yang bertanggungjawab melahirkan kita ke dunia.
Sewaktu kecil, kitalah permata mereka, kitalah intan yang ditatang dan dijaga sebaiknya. Masih ingat sewaktu kita meminta dibelikan ais krim, atau beg sekolah, buku dan pensil, atau kasut raya berkilat ditaburi manik?
Ya, saya masih ingat persis. Saya harap anda para pembaca juga masih megingati kenangan-kenangan manis bersama ibu bapa.
Itu adalah puluhan tahun dulu. Kini pasti mereka telah meningkat usia, uban putih memenuhi kepala, kedut-kedut di wajah dan tangan yang semakin ketara. Itulah tangan yang selalu membelai kita sejak kecil.
Sekarang kita sudah dewasa, dan semakin jauh dari kehidupan ibu bapa. Namun kita, tetap menjadi dunia mereka yang selalu mereka lewati saat gambar-gambar dalam album lama diteliti. Ya, anda tidak pernah tahu dan tidak pernah menyangka!
Suatu hal yang tidak dapat kita lari dan seharusnya kita cepat sedari adalah ibu bapa kita bukanlah semakin muda. Usia tua telah memamah kudrat mereka.
Usia tua telah menjadikan mereka semakin sensitif dan cepat berkecil hati dengan perselisihan-perselisihan kecil yang terjadi. Jadi mari kita teliti 5 hal yang boleh kita ambil tahu sewaktu melayani dan menyantuni mereka:
#1 – Sensitif Dengan Keadaan Kesihatan
Semakin meningkat usia, mereka semakin terdedah dengan penyakit-penyakit tertentu contohnya darah tinggi atau kencing manis. Luangkan sedikit masa untuk menemani mereka ke hospital untuk membuat pemeriksaan kesihatan berkala, atau anda juga boleh membuat giliran dengan adik-beradik yang lain, mungkin atas faktor kekangan kerja dan cuti yang tidak banyak.
Cuba fahami apa yang dibicarakan doktor, saranan pengambilan ubatan yang pelbagai atau nasihat-nasihat tambahan yang diberikan. Ingatkan mereka untuk mengambil ubat atau boleh juga belikan alat untuk memeriksa tekanan darah dan kandungan gula supaya boleh dilakukan sendiri di rumah. Ini lebih mudah!
Perlu diingatkan bahawa kesihatan mereka kembali sensitif apabila meningkat usia, sama seperti waktu kita kecil-kecil dahulu, kerap demam dan tidak sihat badan, maka begitu juga mereka.
#2 – Cari Tahu Impian dan Keinginan Mereka
Kebanyakan ibu bapa bukanlah suka meminta. Banyak hal yang mungkin dipendam mereka. Ibu kita mungkin lebih sibuk memikirkan menu apa yang ingin dimasak untuk ahli keluarga hari ini? Atau bagaimana keadaan anak cucunya, sihatkah mereka?
Bahkan, sepanjang hidup seorang ibupun, pemikiran dan pemerhatian lebih tertumpu kepada keperluan keluarga. Apa kata anda cuba selidik dan cari tahu keinginan dan impian ibu bapa selama ini.
Mungkin mereka sangat teringin menunaikan umrah atau haji? Anda boleh mula merancang bersama adik beradik yang lain lebih awal. Mungkin impian ibu bapa adalah untuk pergi ke suatu tempat untuk berehat. Anda boleh juga merancang percutian istimewa untuk mereka!
#3- Komunikasi Yang Berkualiti
Kita kerap merengek dan bercerita segala macam hal sewaktu kecil dahulu kepada mereka bukan? Bergaduh dengan kawan di sekolah, kena marah dengan cikgu dan sebagainya.
Sekarang luangkanlah pula masa untuk mendengar mereka bercerita sekalipun hal-hal yang kecil bagi kita, sama ada melalui panggilan telefon atau ketika anda mempunyai ruang untuk menjenguk merka.
Mungkin mereka akan berbual tentang bunga yang ditanam, lauk yang dimasak, kucing jiran yang masuk kawasan rumah mahupun apa sahaja yang boleh menyenang dan melapangkan fikiran mereka.
Masih ingat iklan raya Petronas yang terkenal tentang perbualan antara seorang bapa dan anaknya? Si bapa bertanya soalan yang sama (Burung apa?) berkali- kali kepada si anak. Dan anak tersebut akhirnya hilang sabar dan memarahi bapanya.
Lalu waktu lampau semasa kecil diulang tayang semula menunjukkan si bapa tersebut sabar melayan kerenah anaknya yang bertanya soalan sama berkali-kali, dan tetap dijawab tanpa jemu.
Tidak dinafikan bahawa kita akan cepat hilang sabar apabila berkomunikasi dengan orang tua, namun inilah suatu hal yang boleh meredakan semula perasaan kita; Self reflection atau membuat renungan ke dalam diri semula tentang kehidupan bersama ibu bapa yang pernah dijalani sejak dari kecil.
InsyaAllah cara ini akan membantu kita untuk lebih sabar menyantuni mereka.
#4 – Elakkan Membebankan Orang Tua Dengan Masalah Kita
Usia tua seharusnya dijalani dengan hati yang tenang dan lapang. Elakkanlah dari membebankan fikiran mereka dengan masalah-masalah kita seperti masalah kewangan, perlu menjaga pula anak-anak kita (cucu mereka).
Berikanlah ruang dan peluang buat mereka untuk memberi perhatian kepada diri sendiri, seperti meluangkan masa ke masjid, kuliah agama atau melakukan aktiviti kemasyarakatan dengan jiran tetangga.
Namun hal ini tetap boleh dibawa berbincang, tidak bermakna masalah harus dipendam dan tidak boleh dikongsikan langsung dengan ibu bapa, cuma anda perlulah bijak menilai kemampuan mereka.
#5 – Usah Membandingkan Kemampuan Ibu Bapa
Setiap ibu bapa pasti mempunyai kelemahan dan kelebihannya masing-masing. Mungkin ibu bapa kita sekarang kerap lupa tentang sesuatu, tidak mampu berbual atau memberi respon dengan baik, atau mungkin sudah tidak mampu melakukan tugasan-tugasan rumah seperti sebelumnya.
Perlu kita fahami bahawa ini adalah proses penuaan yang akan dilalui oleh mereka, dan proses ini berbeza bagi setiap orang.
Ada orang sihat tanpa sebarang masalah sehingga dijemput Ilahi dan ada pula yang mengalami masalah-masalah penuaan atau dihinggapi penyakit-penyakit tertentu.
Kita akan lebih tenang menghadapi situasi begini jika kita ada pengetahuan yang lebih tentang keadaan mereka, maka rujuklah pakar kesihatan atau banyakkan bacaan tentang proses penuaan.
Hidup adalah suatu putaran. Apabila kita memandang keadaan ibu bapa kita yang sekarang ibaratnya kita memandang kepada diri kita sendiri pada masa hadapan.
Keadaan yang sama juga akan turut kita lalui jika kita dipanjangkan umur oleh Tuhan. Ibu saya selalu berpesan, hidup adalah putaran, bagaimana kita menyantuni orang di sekeliling kita, begitu juga Allah membalas kembali apa yang kita lakukan.
InsyaAllah jika baik layanan kita, maka baiklah juga balasan layanan yang akan kita terima daripada anak-anak kita kelak.
Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” Surah Al-Isra’ : 24
Sumber: tazkirahnet
Tiada ulasan:
Catat Ulasan